Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

get this

Saturday 4 June 2011

RAJAGOBAL KINI BERGELAR DATUK

5 Jun 2011

Tuanku Mizan Zainal Abidin mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk kepada Rajagobal pada Istiadat Pengurniaan Pingat dan Darjah-Darjah Kebesaran Persekutuan sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda di Istana Negara, semalam. – BERNAMA



JURULATIH skuad bola sepak negara, K. Rajagobal kini bergelar Datuk selepas menerima anugerah Darjah Kebesaran Persekutuan iaitu Panglima Jasa Negara (PJN) sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam.
Rajagobal, yang mengembalikan kegemilangan bola sepak negara apabila membawa Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF tahun lalu, merupakan antara 67 penerima Darjah PJN.
Turut menerima darjah kebesaran yang sama ialah legenda bola sepak negara, mendiang R. Arumugam.

Friday 3 June 2011

Hadi muncul penyelamat di Hong Kong

4 Jun 2011


Abdul Hadi Yahaya
Abdul Hadi Yahaya
PENYERANG Terengganu, Abdul Hadi Yahaya menyelamatkan reputasi dan rekod baik skuad Harimau Malaya daripada tewas apabila jaringannya membantu mengikat Hong Kong 1-1 dalam perlawanan persahabatan di negara itu, semalam. 

Penyerang 26 tahun dan menduduki tangga kedua carta senarai penjaring terbanyak Liga Super di belakang Norshahrul Idlan Talaha itu, menunjukkan bisanya apabila menyamakan kedudukan selepas enam minit masuk menggantikan Safee Sali pada minit ke-66.
Begitupun, anak buah K Rajagobal tersentak apabila lawan yang tewas 0-2 dalam perlawanan persahabatan di Shah Alam Februari lalu, merobek gawang lawan yang dikawal Mohd Sharbinee Allawee pada minit ke-60 menerusi Chan Siu Ki.


Rajagobal yang menjadikan perlawanan itu sebagai medan menilai pemain untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia, membuat lima lagi pertukaran dengan S Chanthuru digantikan Mohd Amirulhadi Zainal (m-60), Mohd Sharbinee (Syed Adney Syed Hussein/66), Mohd Azmi Muslim (Mohd Asraruddin Putra/68), Mohd Nasriq Baharom (Mohd Hisyamudin Shaari/80) dan Mohd Shahrom Abdul Kalam (Helmi Remeli/80). 

Hong Kong yang dibimbing Tsang Wai Chung pula membuat lima pertukaran dalam perlawanan yang hanya disaksikan 586 penonton itu. 

Pada perlawanan di Shah Alam, jaringan Safiq Rahim pada minit ke-44 dan Amirulhadi (m-90) serta aksi tangkas Khairul Fahmi Che Mat yang tidak menyertai pasukan kali ini kerana dilepaskan untuk persiapan skuad Olimpik, membantu kemenangan Harimau Malaya yang masih segar menjuarai Piala AFF Suzuki, sebelum itu. 

Malaysia ikat Hong Kong 1 -1

04 Jun 2011



KUALA LUMPUR - Malaysia mengikat Hong Kong 1-1 di Stadium Siu Sai Wan, Hong Kong, semalam sekali gus meneruskan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan bola sepak persahabatan sepanjang tahun ini.

Sentuhan berbisa penyerang muda Terengganu, Abdul Hadi Yahya seperti mana dia menerajui Liga Super musim ini, menyerlah dengan jaringan penyamaan buat skuad negara pada minit ke-66 setelah menggantikan Safee Sali.

Tuan rumah bagaimanapun mengejutkan anak buah K. Rajagobal yang sedang dalam persediaan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2014, dengan gol Siu Ki Chan, enam minit terdahulu.

Keputusan seri dalam perlawanan yang disaksikan kurang 600 penonton ini turut menyekat hasrat Hong Kong untuk menebus kekalahan 2-0 kepada juara Piala Suzuki AFF 2010 ini dalam persahabatan pertama, 9 Februari lalu.
Satu lagi perlawanan persahabatan pada 26 Mac lalu menyaksikan Malaysia turut diikat 1-1 oleh juara Liga Singapura, Etoile FC dari Perancis di Singapura.

Malaysia akan menghadapi Myanmar dalam persahabatan seterusnya, kemungkinan di Kota Bharu pada 18 Jun ini sebelum berdepan ujian sebenar Kelayakan Piala Dunia dengan Taiwan, 29 Jun dan 3 Julai.

Skuad Rajagobal ikat Hong Kong

04 Jun 2011


SKUAD bimbingan Rajagobal (kanan) berjaya mengikat Hong Kong pada aksi 
persahabatan di Stadium Siu Sai Wan, Hong Kong semalam.


HASRAT Hong Kong untuk membalas dendam kekalahan terhadap Malaysia tidak kesampaian apabila kedua-dua pasu- kan seri 1-1 pada aksi persahabatan di Stadium Siu Sai Wan, Hong Kong malam tadi, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam pada 9 Februari lalu, skuad kebangsaan bimbingan K. Rajagobal berjaya mene- waskan Hong Kong 2-0 hasil jaringan Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal.
Namun pada aksi malam tadi, Hong Kong terlebih dahulu membuka tirai jari- ngan pada minit ke-60 menerusi penyudah Chan Siu Ki.
Malaysia hanya memerlukan enam minit untuk menyamakan kedudukan hasil jari- ngan penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya yang masuk sebagai pemain gantian pada penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan.
Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat.
Hanya lima pemain ketika Malaysia menundukkan Hong Kong di Shah Alam kekal dalam kesebelasan utama malam tadi.
Mereka ialah ketua pasukan, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Radzak, Asraruddin Putra Omar, S. Kunanlan dan Safee Sali.
Baki enam pemain dalam kesebelasan Malaysia malam tadi ialah penjaga gol, Shar- binee Allawee Ramli, Hisyamudin Shaari, Helmi Remeli, Amar Rohidan, Amirulhadi Zainal dan Norshahrul Idlan Talaha.
Manakala Hong Kong tampil dengan skuad berbeza apabila hanya tiga pemain dalam kesebelasan ketika aksi di Shah Alam iaitu Wong Chin Hung, Lo Kwan Yee dan Lam Ka Wai berada dalam kesebelasan kali ini.
Lima tonggak utama skuad kebangsaan iaitu penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Fadhli Shas, K. Guru- samy dan Ahmad Fakri Saarani tidak ke Hong Kong kerana sedang menjalani latihan pusat bersama skuad Olimpik negara.
Pada aksi persahabatan seterusnya, Malaysia akan bertemu Myanmar pada 18 Jun ini di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

Nasib van Basten Timpa Zaquan, Mungkin Terpaksa Bersara Awal?

03 Jun 2011


Agak bersimpati juga penulis dengan situasi penyerang popular tanah air seorang ni, belum pun sempat merasa hangatnya saingan Liga Super musim baru, Zaquan Adha Abdul Razak sekali lagi terpaksa berehat panjang gara-gara berulangnya kecederaan “Anterior Cruciate Ligamen” (ACL), 12 Mac lalu.

Hanya empat kali beraksi, Zaquan yang terlepas keseluruhan aksi Piala Malaysia dan Sukan Asia 2010, serta Piala AFF Suzuki tahun lalu gara-gara kecederaan sama yang dialami pada September, terpaksa menerima hakikat, betapa impiannya untuk terus menyumbang kudrat bersama skuad kebangsaan mungkin sudahpun terpadam.

Dihubungi penulis sebentar tadi menerusi SMS, Zaquan mengakui cukup kecewa dengan situasi ini. Penulis cuba mengacah dengan bertanya apakah Zaquan masih berani untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang pemain bolasepak, apatah lagi ia kecederaan berulang buatnya.

Zaquan bagaimanapun menegaskan tidak akan sesekali menyerah atau berputus asa, walau apapun yang terjadi. Penulis kagum dengan semangat dan motivasi di dalam diri Zaquan, dan yakin ramai bersetuju Negeri Sembilan dan Malaysia kehilangan seorang penyerang yang cukup berkaliber.

Meskipun dijangka tersisih antara 5-6 bulan, tempoh itu mungkin jauh lebih lama, memandangkan ini yang ketiga dialami Zaquan, lebih-lebih lagi berdasarkan laporan Sukan Awani, oleh wartawannya Zulhelmi Zainal Azam, kekoyakan pada ligamen lutut Zaquan sudahpun di tahap kritikal, iaitu 80% terkoyak.

Ini bermakna mengambil kira waktu yang diperlukan untuk beliau pulih, kembali cergas dan ‘regain match fitness’, peminat bolasepak tanah air hampir pasti hanya dapat menyaksikan kelibat pemain ini, dalam saingan Liga Malaysia 2012.

Malah jika keadaan tidak lagi mengizinkan, Zaquan mungkin juga terpaksa menimbang kemungkinan bersara awal, seperti mana lagenda Belanda, Marco van Basten. 

Kecederaan memaksa MVB bersara pada usia 30 tahun
Van Basten bergelut dengan kecederaan buku lali, dan apabila mendapati ia seringkali berulang dan sukar dipulihkan, beliau bersara pada usia 30 tahun.

Bukan bermaksud menakutkan atau menjatuhkan moral Zaquan, tapi itulah hakikat. Lebih baik Zaquan kembali, apabila sudah benar-benar sembuh dan cergas sepenuhnya, berbanding segera turun, khuatir keadaan akan menjadi lebih buruk jika sekali lagi kena ACL.

Apapun, kepada Zaquan, moga tabah, dan sabar menghadapi dugaan ini, pastinya peminat bolasepak tanah air, merindui aksi anda. Juga diharapkan cepat sembuh.

Zaquan Bengang, Kejatuhan Prestasi Tiada

03 Jun 2011

Kaitan Rasuah : Azraai Khor


Sukar untuk mentelah apa sebenarnya sedang bermain di benak fikiran jurulatih serba boleh, Azraai Khor Abdullah, melihat nasib pasukan Juara Piala Fa dan naib juara Piala Malaysia 2010, Negeri Sembilan kendaliannya kini berdepan pelbagai spekulasi, dan ketidak-konsistenan prestasi tatkala musim Liga Super 2011 semakin hampir melabuhkan tirainya.

Gagal mempertahankan Piala FA, apabila tersingkir seawal pusingan kedua tewas menerusi sepakan penalti kepada Kuala Lumpur (ketika itu di bawah bimbingan Wan Jamak Wan Hassan), skuad Hoben Jang Hoben kini terperosok di tangga ke-10 daripada 14 pasukan Liga Super.

Dan pada ketika hanya 9 mata maksimum dapat dikutip dalam 3 perlawanan terakhir, kedudukan paling tertinggi dapat diintai skuad Azraai, hanyalah tempat ketujuh – itupun jika menang kesemua baki 3 perlawanan, manakala tiga pasukan di atas mereka – Felda Utd, Johor Fc dan T-Team mencicirkan mata.

Bercakap dengan Azraai – jurulatih yang cukup sporting dan merendah diri, beliau nyata tidak mahu spekulasi buruk dan segala cakap-cakap di luar padang mengganggu gugat tumpuan pemainnya.

“tentang isu rasuah tu, biarlah pihak berkenaan menjalankan siasatan, tak perlu kita buat spekulasi, saya tak mahu membabitkan diri, saya masih baru bersama pasukan ni, saya pun tak boleh nak komen apa..”.

“tapi so far saya tak nampak sebarang tanda pemain saya ada kaitan dengan rasuah, sebaliknya ia disebabkan masalah kecederaan ekoran jadual padat, kita tak cukup rehat, tak cukup pemain, Norhafiz Zamani, Mahathevan, Zaquan Adha, Ahmad Aminudin, terbaru Shafik Rahman, manakala Hairudin on-off cedera lutut, itu yang jejaskan prestasi pasukan, bukan perkara lain, sekarang kita ibarat Rusa tempang la..”, tegas Azraai.

Sebelum ini, kecoh diperkatakan tentang gejala bookie yang melanda pasukan Negeri Sembilan, apabila sekurang-kurangnya 15 pemain Piala Presiden Negeri Sembilan, mengaku menerima suapan Rm2,000 bagi beberapa perlawanan Piala Presiden, dan gejala itu turut dikaitkan dengan pemain skuad utama Liga Super dalam masa sama.

Perkara ini didedahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan minggu lalu, yang disusuli laporan polis oleh pengurus pasukan, Bahari Abd Rahman.

Dalam pada itu, penyerang sensasi Negeri Sembilan, yang kini sedang merawat kecederaan ACL, Zaquan Adha Abdul Razak, ibarat kurang senang apabila ditanya sama ada beliau turut disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah berkaitan isu ini.

Ini jauh berbeza berbanding adik kembarnya, Aidil Zafuan, yang berkata sedia bekerjasama dengan SPRM andai diperlukan berbuat demikian.

Ketika ditanya SS, apa pandangan Zaquan jika benar pemain utama Liga Super Negeri Sembilan ada terlibat dalam gejala bookie, dan adakah dia turut disiasat SPRM, ini jawapan Zaquan.

“Terlibat apa? Sape yang terlibat? Eh, mana awak dapat cerita tak betul ni? Saya tak kena siasat apa-apa pun..”, jawabnya ringkas menerusi SMS, jawapan yang lari daripada soalan asal ditujukan kepadanya.

Zaquan kemudiannya tidak langsung membalas walau satu pun SMS, sekaligus menimbulkan persoalan terhadap tahap profesionalismenya menjawab persoalan wartawan.

Negeri Sembilan akan menentang T-Team di gelanggang sendiri Isnin ini, dan jika gagal mengutip mata penuh, skuad Rusa berpotensi dipintas Kuala Lumpur, yang ketinggalan dua mata di belakang.

Tuesday 31 May 2011

Aidil yakin pemain NS bersih

01 Jun 2011


TONGGAK pertahanan Negeri Sembilan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak berasakan gejala mengatur keputusan perlawanan tidak merebak ke dalam skuad Liga Super negeri itu walaupun Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat laporan polis mengenai skuad Piala Presiden mereka.
Menurutnya prestasi merudum Negeri Sembilan tidak berkaitan dengan gejala itu, malah beberapa faktor lain perlu diambil kira seperti kecederaan sejumlah besar pemain utama dan tidak bernasib baik untuk meraih tiga mata.

Skuad Hoben Jang Hoben itu mengharungi prestasi buruk dalam Liga Super musim ini apabila hanya mengumpul 25 mata dan kini menduduki kedudukan ke-10 dengan berbaki tiga perlawanan manakala skuad Piala Presiden negeri itu berada di tangga ketujuh dari 11 pasukan Kumpulan B mengumpul 20 mata.
“Mungkin secara kebetulan ketika prestasi skuad Liga Super merosot, timbul pula dakwaan mengatur keputusan perlawanan membabitkan pemain skuad Piala Presiden.

“Apa yang saya nampak setakat ini ia tidak berlaku dalam skuad Liga Super, namun biarlah pihak polis meneruskan siasatan mereka dan saya sedia memberikan kerjasama sekiranya diminta berbuat demikian.

“Saya juga tidak pernah didekati mana-mana individu mempengaruhi saya cuba mengatur keputusan perlawanan namun bersedia bertindak membuat laporan sekiranya terdapat usaha seperti itu,” katanya.
Beliau juga turut menjelaskan kekecewaannya sekiranya benar perkara itu memang berlaku dalam skuad Piala Presiden yang akan menggalas cabaran negeri pada masa depan.